Friday, January 6, 2017

Kisah Isra' dan Mikraj

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada tuan2 dan puan2 yang saya hormati sekalian..

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa ke atas sesuatu.. Di dalam Al Quran, Allah berfirman ;

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.



Pada tarikh 27 Rejab setiap tahun, umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan Israk dan Mikraj. Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad ﷺ dari Mekkah ke Madinah. Apabila bercerita tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah ﷺ bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa:

Israk yakni perjalanan Nabi Muhammad ﷺ menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh. 

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah ﷺ hanya berlangsung pada satu malam. Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda ﷺ sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi Muhammadﷺ bukannya roh sahaja.

Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah سبحانه وتعالى menegaskan “asra bi ‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad ﷺ yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja.

Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi “asra bi rohi ‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi Muhammadﷺ dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah Rasulullah ﷺ menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan Baginda ﷺ. Fitnah terhadap Baginda ﷺ bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan Baginda ﷺ, maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi Muhammad ﷺ lalu beliau dengan tegas menyatakan :

“Benar! Aku mengakui bahawa engkau merupakan Rasulullah ﷺ. Jika baginda ﷺ mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya.”
Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar


Selain itu, pernah juga diriwayatkan Nabi Muhammad ﷺ berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.


Dalam perjalanan itu juga Nabi Muhammad ﷺ menghadapi gangguan jin ‘ifrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa² simbolik yang amat ajaib

Di antara peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

.
  1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah ﷺ dibertahu oleh Jibrail : “Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.”
  2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah ﷺ diberitahu oleh Jibrail : “Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak²nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah سبحانه وتعالى (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).”
  3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah ﷺ: “Itulah orang² yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).”
  4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : “Itulah orang² yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”
  5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: “Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing² mempunyai isteri / suami.”
  6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang makan riba`.”
  7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: “Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.”
  8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: “Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”
  9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: “Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.”
  10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.”
  11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah ﷺ tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. “Jika Rasulullah ﷺ memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.”
  12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah ﷺ berhenti. Rasulullah ﷺtidak menghiraukannya. Kata Jibrail: “Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.”
  13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah ﷺ untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Nabi Muhammad ﷺ turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum

Nabi Muhammad ﷺ terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bekas yang berisi arak dan susu. Rasulullah ﷺ memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: “Baginda ﷺ membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.”

Selepas selesai munajat, Nabi Muhammad ﷺ di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah ﷺ merayu kepada Allah سبحانه وتعالى agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu solat itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah سبحانه وتعالى perkenan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Nabi Muhammad ﷺ turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

No comments:

Post a Comment