Antara nikmat yang sangat besar bagi kita adalah nikmat tidur. Tidur bukan sahaja merehatkan badan dan otak kita tapi juga menjadi tanda kebesaran Allah swt. Ingat kisah pemuda ashabul kahfi yang ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun?. Kisah mereka menjadi tanda kebesaran Allah swt dalam menyelamatkan mereka dari kaum musyrik. Firman Allah swt :
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan "Ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (Al-Kahfi 18:9)
Allah juga merakamkan di dalam Al Quran bahawa DIA-lah yang menidurkan kita di waktu malam sebagai bukti dan tanda kekuasaan Allah yang Maha Agung :
Dan Dia lah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Ia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.(Al-An'aam 6:60)
Seharian kita berpenat mengejar dunia, malam menjadi tempat untuk kita beristirehat. Syukurlah dengan nikmat tidur ini. Ada orang tidak boleh tidur malam kerana faktor kesihatan yang tidak mengizinkan. Cuba bayangkan kalau Allah tarik nikmat tidur ini?, kita pasti merana. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt.
No comments:
Post a Comment