Saturday, August 15, 2020

Jadilah Orang Yang Senantiasa Bersyukur

 Bersyukur menjadikan kita bahagia. Bahagia itu pastinya akan menjemput rezeki di sekeliling kita. Bersyukurlah diatas pelbagai rezeki yang dianugerahkan Allah kepada kita, rezki Iman dan Islam, rezeki kasih sayang, rezeki kesihatan yang baik, rezeki keluarga bahagia dan pelbagai lagi. Yakinlah kita, jika kita bersyukur, Allah akan tambahkan rezeki kita. Firman Allah:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Surah Ibrahim 14 : 7)

Imam Al-Ghazali dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ menyatakan: bersyukur itu adalah menjunjung tinggi nikmat, seterusnya mengagungkan Allah. Syukur juga merupakan salah satu darjat yang paling tinggi daripada sabar dan khauf (takut) kepada Allah. Ada 4 cara kita membuktikan kesyukuran pada Allah:

1)         Bersyukur dengan hati.

Tanda bersyukur dengan hati adalah, apabila kita bersungguh-sungguh meyakini bahawa segala nikmat, pemberian, hadiah, kegembiraan, kebaikan semuanya datang daripada Allah, walaupun secara fizikalnya nampak seperti manusia yang beri. Firman Allah dalah surah an-Nahl ayat 53;

“Dan, apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allahlah (datangnya) dan apabila kamu ditimpa oleh kemudaratan, maka hanya kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.”

2)         Bersyukur dengan lisan.

Banyakkan puji-pujian kepada Allah dengan berzikir khususnya lafaz Alhamdulillah juga lafaz-lafaz lain.

3)         Bersyukur dengan amal perbuatan

Tanda syukur dengan perbuatan adalah apabila kita menunaikan solat fardhu 5 waktu, berpuasa, bersedekah, berdakwah dan melakukan pelbagai amal kebajikan. Gunakan anggota badan untuk mengelak daripada membuat maksiat. Menjaga pandangan mata daripada perkara dosa seperti video lucah dan aurat. Menjaga telinga daripada mendengar perkara yang haram, menjaga mulut daripada mengumpat, memfitnah, menipu, mengadu domba, dan sebagainya.

4)         Bersyukur dengan segala nikmat pemberian.

Apa sahaja nikmat yang kita perolehi sama ada yang kecil mahupun yang besar, wajib kita syukuri. Termasuklah nikmat masa, ilmu, kesihatan, dan sebagainya. 


Jadilah kita orang yang sentiasa bersyukur walau sekecil mana nikmat yang kita miliki. Mudah-mudahan kita menjadi hamba yang paling bersyukur di atas segala nikmatnya..

Bersihkan Hati Kita

 Kita amat mengambil berat penampilan diri. Sentiasa kemas dalam berpakaian, rambut yang disisir dan wajah yang sentiasa bersih.

Adakah hati kita juga sentiasa kita pelihara kebersihan dan kerapiannya?

Imam al-Ghazali menyebutkan: "Sungguh menghairankan orang yang sangat mengambil perhatian terhadap muka (wajahnya) yang merupakan tempat makhluk melihat, tetapi tidak memerhatikan hatinya, yang merupakan tempat Pencipta (ALLAH) melihat."

Untuk bersihkan hati, kita hendaklah membaca Al Quran dan berzikir setiap hari. Dua amalan ini begitu penting dalam menggilap hati kita agar menjadi bersih dan berkilau. Kita akan terhindar dari penyakit hati seperti sombong, riak, ujub, sum'ah dan lain-lain. Jadi, paksa diri untuk membaca Al Quran dan berzikir setiap hari agar kita menjadi orang yang beruntung di dunia dan di akhirat kelak..inshaAllah.. :)

Berbakti Kepada Ibu Bapa

 Antara kewajipan seorang anak kepada ibu bapanya ialah berbakti kepada keduanya. 

Salah satu cara berbakti ialah dengan berdoa untuk kedua ibu bapa sama ada semasa hidupnya mahupun selepas kematiannya.

Antara ayat di dalam al-Quran yang boleh digunakan sebagai doa untuk kedua ibu bapa kita, antaranya:

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Ibrahim: 41

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami. Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Ibu bapa kita telah banyak berkorban untuk kita dari kita kecil sehingga dewasa. Maka sebagai anak kita perlu berbakti kepada mereka. Jika mereka sudah uzur, ambil lah peluang untuk menjaga mereka. Janganlah kita menjadi anak yang tidak mengenang budi. 

Takwa Paling Dekat Dengan Allah

Memiliki sifat takwa merupakan hasrat setiap Muslim. 

Saidina Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab berkenaan maksud takwa. Ubai berkata kepada Saidina Umar: "Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?" Lantas jawab Saidina Umar, "Ya, pernah." Ubai bertanya lagi, "Apakah yang kamu lakukan ketika itu?" Saidina Umar berkata, "Aku akan berhati-hati dan bersungguh-sungguh (syammartu wajtahadtu)." Berkata Ubai, "Itulah takwa." 

Daripada jawapan ini dapat disimpulkan bahawa takwa bermaksud berhati-hati dalam hidup supaya tidak terjebak dengan perkara yang haram serta bersungguh-sungguh melakukan amal soleh berlandaskan petunjuk Quran dan Sunnah. 

Berkata Hasan Al-Basri : "Ahli takwa itu bagi mereka ada beberapa tanda. Antaranya benar percakapan, menghubungkan silaturrahim dan baik budi pekerti."

Ayuh berusaha menjadikan diri kita orang bertakwa.


Friday, August 14, 2020

Kenapa Kita Kena Selawat Ke Atas Baginda?

Kenapa kita perlu berselawat kepada Nabi sallahu alaihi wassalam?


Sesungguhnya Allah subhanahu wa taala telah berfirman di dalam al-Quran :

(إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا)

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.  [Surah Al-Ahzab : 56]

Selawat ke atas Nabi sallahu alaihi wasallam adalah perintah yang disuruh oleh Allah jalla wa 'ala ke atas hambaNya. Jadi, jika kita berselawat maka kita telah melaksanakan perintah Allah itu.

Di dalam ayat tersebut juga menyatakan bahawa Allah dan MalaikatNya juga berselawat ke atas baginda Nabi.

Apakah maksud selawat Allah dan Malaikat?

Apabila disebut Allah berselawat kepada Nabi, ia bermaksud Allah memberi penghormatan, kemuliaan, dan kebaikan kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Manakala, maksud selawat daripada Malaikat adalah mereka mendoakan kesejahteraan kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah bersabda :

"مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ عَشْرًا"

“Barangsiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah mengucapkan selawat kepadanya 10 kali.”

Maksud selawat Allah kepada hambaNya adalah Allah memberikan rahmat kepada sesiapa yang berselawat ke atas baginda.

Jadi amatlah rugi bagi siapa yang tidak berselawat kepada Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam. Setiap kali kita mendengar nama Baginda, kita dituntut untuk berselawat kepadanya.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda :

"ﺍﻟﺒَﺨﻴﻞُ ﻣَﻦ ﺫُﻛﺮﺕُ ﻋﻨﺪﻩ ﻓَﻠَﻢ ﻳُﺼﻠّﻰ ﻋَلَيَّ"

Maksudnya :

“ Orang yang bakhil adalah orang yang ketika namaku disebut disampingnya maka dia tidak berselawat atasku”.

Semoga kita tergolong bersama di antara orang yang banyak berselawat ke atas baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam sehingga mendapatkan syafaatnya di hari akhirat kelak.

صَلّوا عَلَى النَبِيّ...

5 Jenis Syafaat Rasulullah Di Akhirat Kelak

SYAFAAT NABI MUHAMMAD - KITA MEMERLUKANNYA SANGAT-SANGAT !


Dengan mendapat syafaat daripada Nabi Muhammad S.A.W, melaluinyalah kita akan mendapat PANDANGAN RAHMAT dari Allah Ta'ala.
Terdapat 5 jenis syafaat Nabi di akhirat kelak, iaitu:

1. Syafaat Nabi untuk membebaskan umatnya dari kedahsyatan Padang Mahsyar.

2. Syafaat Nabi untuk memasukkan umatnya ke dalam syurga tanpa hisab.

3. Syafaat Nabi untuk membebaskan umatnya dari menerima hukuman setelah diperhitungkan.

4. Syafaat Nabi untuk mengeluarkan umatnya dari seksaan azab api neraka.

5. Syafaat Nabi untuk mengangkat darjat seseorang untuk memasuki syurga yang tertinggi.

Antara perkara mudah untuk mendapat syafaat Nabi Muhammad S.A.W ialah dengan berselawat sebanyak mungkin semasa hidup kita, sebagai zikir harian. Mudah-mudahan kita akan selamat di dunia dan akhirat dan akan berputik rasa cinta, rindu dan ta'at kepada Allah dan kekasihNya. 
   
Wallahu a'lam.