Sejujurnya kita tidak dapat lari dari dosa dan kesilapan. Ada sahaja dosa yang kita sedar mahupun tidak sedar. Sebab itu kita dianjurkan untuk beristighfar setiap hari. Istighfar terbaik adalah sayyidul istighfar. Janganlah kita putus asa dari rahmat Allah. Maksiat yang kita lakukan Allah boleh ampunkan dan Dia tidak mengira berapa besarnya dosa maksiat kita. Apa yang penting kita wajib bertaubat dan tidak mengulangi dosa yang kita lakukan. Dalam firmanNya :
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Ayat di atas untuk mereka yang mati tidak menyekutukan Allah. Jika mati dalam keadaan syirik maka Allah tidak akan ampunkan buat selama-lamanya. Semoga kita dijauhkan dari dosa syirik.